Search

Skim penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ guna nama individu ternama

June 24, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) mengesan kewujudan pelbagai iklan pelaburan saham ‘Islamik’ dan ‘patuh syariah’ yang disiarkan secara berleluasa di beberapa platform media sosial.

Setiausaha PDRM, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, menerusi iklan-iklan yang dipaparkan, skim-skim pelaburan itu menawarkan keuntungan sehingga 50 kali ganda daripada nilai wang yang dilaburkan.

Malah katanya, keuntungan juga didakwa akan dibayar seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.

“Lebih membimbangkan, paparan iklan itu turut menggunakan gambar individu-individu ternama termasuklah ahli politik, agamawan, selebriti, tokoh korporat dan pempengaruh media sosial dipercayai dengan tujuan untuk menarik perhatian pelabur.

“Melalui siasatan, individu-individu terbabit tidak pernah memberikan kebenaran untuk gambar-gambar mereka digunakan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Noorsiah berkata, pihaknya mengesahkan telah menerima laporan polis daripada beberapa individu ternama berkenaan penyalahgunaan gambar mereka oleh skim pelaburan berkenaan.

Katanya, sepanjang 2020 hingga Mei ini, sejumlah 186 kes disiasat berkaitan skim penipuan pelaburan ‘patuh syariah’ yang membabitkan jumlah kerugian keseluruhan RM5,411,571.61.

Justeru katanya, sebagai langkah pencegahan, PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak sesekali terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang terlalu lumayan.

“Lakukan semakan yang terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan.

“Dapatkan maklumat lanjut dari sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan,” jelasnya. – Info X