SEMPORNA: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) terus memperhebatkan Operasi Bersepadu termasuk mengekang jenayah rentas sempadan bagi mengekalkan keamanan, keselamatan dan kesejahteraan komuniti setempat serta pelancong ke negeri ini.
Komander ESSCOM, Deputi Komisioner Polis, Victor Sanjos berkata, operasi bersepadu diperhebatkan dengan kerjasama pelbagai agensi dan pasukan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE).
Katanya, operasi bersepadu dengan misi mengesan dan menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dilaksanakan bermula 20 Jun hingga semalam dijalankan di Semporna.

“Operasi itu menyasarkan penempatan yang dikenalpasti di dominasi oleh PATI iaitu di sekitar Pasar Pekan Semporna dan kawasan setinggan Kampung Perigi, Musalah, Bandau-Bangau, Kampung Sekolah Kebangsaan Pekan Dua serta premis reflexologi.
“Sepanjang operasi bersepadu itu, sebanyak 74 rumah dan premis diperiksa membabitkan pemeriksaan 1,166 individu seterusnya membawa kepada tangkapan tujuh lelaki dewasa iaitu enam mengikut Seksyen 51(5)(b) manakala seorang lagi mengikut Seksyen 6(1)(c),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Selain penguatkuasaan undang-undang sedia ada, Victor berkata, turut dilaksanakan pemotongan sambungan haram elektrik dan sebanyak 45 kilogram kabel elektrik dirampasn Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) serta rampasan 37 batang kayu pelbagai saiz dengan anggaran nilai rampasan RM1,805.

“Di samping itu, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) turut mengeluarkan enam keping saman atas pelbagai kesalahan lalu lintas mengikut Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
“Pada masa yang sama, ESSCOM turut mengkoordinasi Operasi Cegah Jenayah Pondohan di kawasan perairan Sangaban,” katanya.
Menurutnya, ESSCOM ingin menzahirkan penghargaan kepada semua jabatan dan agensi yang terbabit khususnya kepada petugas membabitkan 150 pegawai dan anggota yang menjayakan operasi bersepadu berkenaan.

“ESSCOM juga akan terus mempergiat operasi bersepadu seumpama ini ke daerah-daerah di ESSZONE bagi mengekang mana-mana elemen yang boleh mengganggu gugat keselamatan dan kesejahteraan awam akibat kebanjirsn PATI khususnya di pantai timur Sabah.
“Sehubungan itu, masyarakat diseru untuk menyalurkan maklumat berkaitan sebarang insiden keselamatan di ESSZONE ke Pusar Operasi ESSCOM di talian 089-863181 atau melalui aplikasi WhatsApps di talian 011-63311072,” katanya. – Info X