Search

7 sekeluarga terselamat, rumah roboh ditiup angin kencang

June 25, 2023

Info X Reporters

BELURAN: Tujuh sekeluarga di Kampung Kulapis Paris, di sini, berdepan detik cemas apabila rumah atas air yang didiami mereka roboh akibat ditiup angin kencang, petang tadi.

Ketika kejadian, semua penghuni rumah terselamat selepas dikeluarkan oleh Pasukan Bomba Sukarela (PBS) di kampung berkenaan.

Keadaan rumah yang roboh akibat ditiup angin kencang di Kampung Kulapis Paris, Beluran. – Foto/Bomba

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.51 petang.

Katanya, sepasukan pegawai dan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beluran dihantar ke lokasi kejadian.

Penghuni dibawa ke tempat selamat selepas rumah didiami roboh akibat ditiup angin kencang. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi, didapati sebuah rumah jenis tidak kekal roboh ditiup angin kencang.

“Terdapat tujuh mangsa berada di rumah berkenaan telah dikeluarkan oleh anggota PBS dan ditempatkan ke tempat selamat sebelum ketibaan pasukan bomba,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, pasukan bomba kemudian menjalankan pemeriksaan di kawasan kejadian bagi memastikan tiada bahaya lain berlaku.

“Operasi ditamatkan sepenuhnya pada 6.29 petang tadi,” katanya. – Info X