Search

Pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib

June 29, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kementerian Kesihatan, hari ini, mengumumkan pemakaian pelitup muka tidak lagi wajib tetapi hanya “dikehendaki” atau “amat digalakkan” di hospital dan pengangkutan awam mulai Rabu, 5 Julai ini.

Menterinya, Dr Zaliha Mustafa berkata, prosedur operasi standard (SOP) pemakaian pelitup muka itu sebahagian daripada kelonggaran garis panduan berdasarkan perlanjutan pengisytiharan Malaysia sebagai kawasan tempatan jangkitan dan kemas kini protokol Covid-19.

Bagaimanapun, katanya, pemakaian pelitup muka “amat digalakkan” berdasarkan penilaian kendiri bagi individu berisiko tinggi seperti warga emas, individu dengan penyakit kronik, individu dengan imuniti rendah atau ibu mengandung.

“Ini terutama ketika berada di tempat sesak dan di mana pengudaraan kurang baik.

“Pelitup muka juga amat digalakkan bagi individu yang bergejala respiratori bagi mengelakkan jangkitan kepada orang lain; dan semasa berada dalam perkhidmatan pengangkutan awam seperti bas, kereta api, kapal terbang, teksi termasuk perkhidmatan e-hailing, bas/van pekerja dan bas/van sekolah,” katanya.

Zaliha turut mengingatkan bahawa orang ramai dikehendaki memakai pelitup muka bagi kes positif Covid-19 dan ketika berada di fasiliti kesihatan.

Beliau juga mengumumkan arahan pengasingan kes disahkan Covid-19 masih diteruskan, tetapi tempohnya dipendekkan dari tujuh hari kepada lima hari dari onset gejala pertama.

“Ini adalah berdasarkan kajian yang mengatakan bahawa infektiviti kes Covid-19 tinggi pada lima hari pertama dari onset gejala dengan viral load yang tinggi pada tempoh tersebut.

“Ia berkuat kuasa mulai 5 Julai ini,” katanya.

Dalam kenyataannya itu, menteri berkenaan berkata, sejak lima minggu kebelakangan ini (bermula ME 21/2023 sehingga ME 25/2023), bilangan kes baharu Covid-19 telah menunjukkan penurunan sebanyak 53.5 peratus, iaitu 5,801 kes kepada 2,698 kes.

Kes kematian juga, katanya  menunjukkan penurunan sebanyak 35.3 peratus iaitu 17 kes kepada 11 kes.

Dari segi kapasiti hospital pula, jumlah kemasukan pesakit ke hospital awam dan pengisian katil fasiliti Covid-19 juga menurun, manakala peratus pengisian katil Unit Rawatan Rapi (ICU) kekal stabil. – Info X