TAWAU: Dua individu termasuk seorang kanak-kanak dikhuatiri hilang ketika menjalankan aktiviti memburu.
Mangsa lelaki berusia 11 dan 33 tahun dipercayai keluar memburu sejak 24 Jun lalu di kawasan hutan berhampiran Ladang Usahawan Borneo Burmas, di sini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, bilik kawalan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau menerima laporan daripada pihak polis pada jam 8.56 pagi, hari ini.

Katanya, mangsa pada mulanya keluar memburu secara berkumpulan seramai lapan orang sebelum berpecah kepada beberapa kumpulan ketika berada di dalam hutan.
“Dua daripada mereka tidak pulang dan usaha mencari mangsa sudah dilakukan oleh rakan-rakannya.
“Bagaimanapun kedua-dua mangsa gagal ditemukan sebelum kejadian dilaporkan kepada pihak berkuasa,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, bertindak dengan maklumat itu, sepasukan pegawai dari BBP Tawau bergerak ke lokasi sejauh 32 kilometer untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
“Operasi SAR giat dijalankan bersama agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X