Search

2 anggota polis didakwa kerana mendatangkan kecederaan

June 30, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Dua anggota polis masing-masing mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan kecederaan terhadap dua individu dalam dua kejadian berasingan.

Tertuduh Lans Koperal Rizal Lee Abdullah, 34, dan Sarjan Fredy Anak Francis, 32, masing-masing membuat pengakuan tidak bersalah itu di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka.

Rizal yang bertugas di Cawangan Pengangkutan, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Jumaidi Bin Juna, 45, iaitu seorang anggota polis bantuan MAB pada 6 Oktober tahun lalu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di tempat letak kereta kakitangan MAB, di Lapangan Terbangan Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), di sini.

Sementara itu, Fredy yang bertugas sebagai penolong pegawai penyiasat jenayah di IPD Papar, dituduh melakukan kesalahan itu terhadap Sarah Hafizah Binti Lok Siew Kee, 22, pada 23 Januari lalu, di hadapan KUTA Bar, Waterfront, di sini.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara sehingga setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Jessica kemudian menetapkan 14 Ogos untuk sebutan semula kes Rizal manakala Fredy pada 3 Ogos.

Mahkamah juga membenarkan Rizal dibebaskan dengan ikat jamin sebanyak RM1,500 bersama dua penjamin tempatan.

Sementara itu, Fredy turut ditawarkan ikat jamin sebanyak RM1,000 bersama dua penjamin tempatan dan diarahkan supaya tidak mengganggu mangsa bersama ahli keluarganya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Bryan Francis manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam. – Info X