KUDAT: Polis Sabah akan mempertingkatkan operasi pemantauan di kawasan Pulau Banggi, di sini, dalam usaha membendung aktiviti pemburuan haram yang semakin berleluasa di pulau berkenaan.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, pihaknya mendapat maklumat bahawa aktiviti pemburuan haram ini semakin meningkat di Pulau Banggi.
Katanya, kemasukan mereka di Pulau Banggi ini tanpa melaporkan diri kepada mana-mana pihak atau kebenaran daripada mana-mana pihak terutama sekali daripada pihak Jabatan Hidupan Liar (JHL) ataupun Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Ini menimbulkan keraguan masyarakat yang mana mereka ini membawa senjata api dan juga memburu serta melepaskan tembakan di Pulau Banggi.
“Tindakan itu menimbulkan kerisauan kepada masyarakat setempat di Pulau Banggi,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Kudat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemburu haram ini datang dari seluruh pelusuk negeri dan yang terbaharu dua lelaki berusia 66 dan 30 tahun ditahan kerana melakukan kegiatan itu.
“Mereka ini tidak ada kelulusan daripada JHL selain tidak mendapatkan kebenaran untuk membawa senjata api keluar daripada daerah perlesenan mereka dan salah satu senjata api ini dalam siasatan kerana diragui statusnya.
“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan haiwan daging khinzir, pelanduk dan tenggiling.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 untuk rampasan senjata manakala haiwan yang dirampas diserahkan kepada JHL kerana memiliki daging haiwan dilindungi,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh berkata, PDRM akan memastikan aktiviti pemburuan haram khususnya di Pulau Banggi akan dikawal.
“Pemantauan secara serius dilakukan secara berterusan dengan membuat pemeriksaan di jeti-jeti yang menyediakan perkhidmatan feri atau bot ke Pulau Banggi.
“Jadi sekiranya mereka ini didapati berburu secara haram walaupun menggunakan senjata api yang berlesen dan sekiranya mereka membawa senjata api daripada daerah perlesenan asal maka pihak polis akan mengambil tindakan termasuklah membatalkan lesen senjata api mereka.
“Ini amaran tegas, kita tidak bertolak ansur dengan isu-isu yang boleh menimbulkan kerisauan atau ketakutan awam,” katanya. – Info X