Search

Polis tahan 2 pengedar, rampas lebih 2 kilogram syabu

July 5, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Polis tahan dua pengedar dadah dan merampas lebih dua kilogram dadah jenis syabu bernilai RM72,000 dalam serbuan di kawasan Dataran Lepa, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 7.30 malam itu, kedua-dua suspek warga asing berusia 36 dan 53 tahun itu ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat awam berkaitan pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, sepasukan anggota dari Balai Polis Semporna bertindak menjalankan pemantauan dan mendapati terdapat sebuah kereta dalam keadaan mencurigakan di lokasi berkenaan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat dua lelaki termasuk seorang warga asing di dalam kereta berkenaan.

“Pemeriksaan lanjut, polis turut menemui satu beg warna biru mengandungi dua plastik bertulisan cina berisi bahan hablur jernih disyaki dadah jenis syabu,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, berat kasar dadah disyaki syabu yang ditemukan itu lebih kurang 2,027.31 gram dianggarkan bernilai RM72,000.

Mohd Farhan menunjukkan dadah syabu yang dirampas dalam serbuan di kawasan Dataran Lepa, Semporna.

“Semua barang rampasan termasuk dadah jenis syabu, kereta, dua unit telefon pintar tersebut dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk membantu siasatan.

Kereta yang dirampas polis.

“Kedua-dua suspek terbabit kini ditahan reman selama tujuh hari bermula 4 hingga 10 Julai depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Sementara itu, Mohd Farhan menzahirkan terima kasih kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berkenaan pengedaran dadah di daerah ini.

“Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kegiatan pengedaran dadah diminta menyalurkannya ditalian 089-782020.

“Polis tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang terbabit dengan kegiatan pengedaran dadah di daerah ini,” katanya. – Info X