Search

Warga emas maut lori dipandu terbabas, rempuh tebing konkrit

July 8, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Lelaki warga emas maut apabila lori dipandunya terbabas dan merempuh tebing konkrit di Jalan Ranggu, di sini, semalam.

Dalam kejadian jam 1.15 petang itu, mangsa berusia 67 tahun disahkan meninggal dunia ketika menerima di Unit Kecemasan Hospital Tawau.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 1.26 petang.

Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa memandu sebuah lori dari kebunnya di Ranggu menuju balik ke rumah yang terletak di Jalan Hotspring.

“Ketika di tempat kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh tebing konkrit di lokasi berkenaan.

“Mangsa kemudian didapati mengalami kecederaan parah dan dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tawau oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya, mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan semasa menerima rawatan.

“Pihak hospital akan menjalankan proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian mangsa.

“Polis masih meneruskan siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – Info X