Search

Cubaan seludup minyak masak subsidi gagal

July 10, 2023

Info X Reporters

SANDAKAN: Aktiviti beberapa individu sedang memunggah sejumlah guni dari kenderaan pacuan empat roda di kawasan tebing Sungai Kampung Bakau, di sini, tergendala apabila diserbu Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, mereka bertindak melarikan diri ke kawasan belukar berhampiran sungai dengan meninggalkan bungkusan guni berkenaan.

Menurut sumber, ketika kejadian pegawai dan anggota PPM Sandakan yang menjalankan rondaan di kawasan tebing sungai itu melihat aktiviti pemunggahan barang dalam keadaan mencurigakan dari kenderaan Nissan Frontier.

Katanya, selepas dihampiri, kelihatan beberapa individu melarikan diri ke kawasan beluran berhampiran sungai apabila menyedari kehadiran PPM.

“Pemeriksaan dibuat dan menemui 50 guni yang disimpan di ruang dalam dan but belakang kenderaan itu.

“Pemeriksaan lanjut menemui sebanyak 850 peket minyak masak dianggarkan bernilai RM2,125 yang disyaki cuba diselewengkan ke negara jiran,” katanya, hari ini.

Minyak masak bersubsidi yang ditemui dalam kenderaan pacuan empat di tebing Sungai Kampung Bakau, Sandakan. – Foto/PPM

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan rampasan berkenaan

Katanya, jumlah keseluruhan rampasan termasuk kenderaan bernilai RM28,000.

“Semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan selanjutnya dan akan diserakan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) cawangan Sandakan.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya. – Info X