Search

Gagasan Rakyat Sukau nafi parti itu tak sokong kerajaan perpaduan

July 10, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua Bahagian Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Sukau, Juhari Janan menafikan dakwaan Umno Sabah yang mengatakan parti itu tidak menyokong kerajaan perpaduan yang dipimpin Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, kenyataan yang diucapkan beliau sebagai ketua bahagian adalah lebih bermaksud kepada kegagalan Umno Kinabatangan dalam memajukan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sukau serta Parlimen Kinabatangan walaupun telah memerintah selama lebih 20 tahun.

Beliau berkata, sepanjang tempoh pemerintahan Umno di DUN Sukau dan Parlimen Kinabatangan, masih ramai lagi rakyat yang menderita dan mendambakan kemajuan dalam menjalani kehidupan masing-masing.

“Usaha dalam memecah-belahkan Kerajaan Sabah pada dasarnya adalah dimulakan oleh kepimpinan Umno Sabah yang juga dipimpin oleh Umno Kinabatangan dimana gerakan yang digelar “Langkah Kinabalu” untuk menjatuhkan kerajaan negeri yang dipimpin Ketua Menteri, Datuk Hajiji Noor pada awal Januari lalu.

“Demi untuk memajukan DUN Sukau dan Kinabatangan, pihak Gagasan Rakyat DUN Sukau ingin menyatakan sokongan penuh kepada kerajaan negeri Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dibawah kepimpinan Hajiji dan kerajaan persekutuan di bawah pimpinan Anwar,” katanya.

Terdahulu, Kepimpinan Umno Sabah mengecam sekeras-kerasnya kenyataan yang dibuat oleh Juhari dalam Majlis Himpunan Gagasan Rakyat Sukau dan Lamag, pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Pilihanraya UMNO Sabah, Jeffery Nor Mohamed berkata, intipati ucapan yang dibuat, jelas dan nyata bahawa Gagasan Rakyat tidak menyokong kerajaan perpaduan sedia ada.

“lni berikutan ramalan mereka bahawa BN dan PH, yang merupakan sebahagian parti komponen dalam kerajaan perpaduan, akan kalah dalam enam PRN (Pilihan Raya Negeri) yang bakal berlangsung tidak lama lagi,” katanya. – Info X