LAHAD DATU: Mayat seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan ditemui di atas longgokan sampah di tempat pembuangan sampah di kawasan Fajar, di sini, malam tadi.
Mayat bayi dengan dibalut menggunakan sehelai baju kameja warna kelabu ditemui kira-kira jam 11.30 malam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dr Rohan Shah Ahmad berkata, mayat bayi lelaki itu ditemui oleh pemandu lori warga tempatan berusia 44 tahun ketika sedang memungut sampah di kawasan berkenaan.
“Lelaki terbabit adalah pemandu lori kontraktor pembersihan sampah yang ketika itu sedang memungut sampah di kawasan berkenaan.
“Mayat bayi itu dibalut dengan menggunakan kemeja perempuan berwarna kelabu dan bergaris yang diletakkan di atas longgokan sampah,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu sepasukan pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu telah ke lokasi kejadian bagi menjalankan siasatan.

“Mayat bayi itu dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Lahad Datu bagi proses bedah siasat.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan membuang mayat dengan sulit,” katanya.
Sementara itu, Rohan Shah berkata, pihaknya sedang berusaha mengesan suspek sebenar dalam kejadian ini.

“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi terus Hotline IPD Lahad Datu di talian 089-881255 atau pegawai penyiasat kes Inspektor Sophie Thomas Kasau di talian 013-9392505. – Info X