SEMPORNA: Operasi pencarian kanak-kanak yang hilang selepas bot dinaiki karam dalam kejadian di perairan Pulau Nusa Tengah, di sini, berjaya ditemui, hari ini.
Mangsa yang dikenali sebagai Padli Ambit, 7, ditemui di kawasan perairan Kampung Pukas, di sini, pada jam 2.48 petang tadi.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemui pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang turut membantu operasi.
Katanya, mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 4.29 petang.

“Mangsa yang hilang sejak Jumaat lalu berjaya ditemui kira-kira 300 meter dari lokasi bot karam,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Operasi SAR disertai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Taman-Taman Sabah.
Terdahulu, dalam kejadian 14 Julai lalu, mangsa dilaporkan hilang selepas bot dinaiki bersama tiga lagi individu karam di lokasi berkenaan.
Seorang lagi mangsa yang dikenali sebagai Nasirin Katibin, 7, turut meninggal dunia manakala dua lagi mangsa, Katibin Husni, 28, dan seorang lagi dikenali sebagai Ampit Gopek, 25, terselamat. – Info X