Search

Nelayan disyaki terjatuh laut

July 16, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Seorang nelayan dikhuatiri lemas selepas disyaki jatuh laut ketika keluar menangkap ikan di perairan Batu Payung, di sini, petang tadi.

Mangsa yang dikenali sebagai Husin berusia lingkungan 30 tahun dipercayai keluar dari rumahnya menuju ke laut untuk menangkap ikan dan sepatutnya pulang pada tengah hari.

Menurut sumber, bot mangsa ditemukan oleh penduduk kampung tanpa jurumudi disyaki jatuh laut dan hilang di perairan berhampiran.

“Seorang penduduk kampung menemukan bot dipercayai milik mangsa, namun hanya barang peribadi iaitu telefon bimbit dan makanan sahaja ditemukan di dalam bot berkenaan.

“Susulan itu, satu laporan dibuat menerusi panggilan MERS999 pada jam 3.35 petang mengenai kejadian orang hilang berkenaan,” katanya.

Katanya, pasukan keselamatan terus bertindak menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar perairan bot mangsa ditemukan.

“Namun sehingga kini, mangsa masih gagal ditemukan,” katanya.

Sidang media akan diadakan oleh Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) pada esok pagi mengenai kejadian berkenaan. – Info X