Search

3 rumah teres musnah terbakar

July 17, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Tiga rumah jenis teres satu tingkat musnah dalam kebakaran di Taman Mepo, Kolombong, di sini, petang tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan telefon pada 4.41 petang.

Katanya, seramai 24 pegawai dan anggota bersama tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu dikejarkan ke lokasi kejadian.

Pasukan bomba memadam kebakaran membabitkan rumah teras di Taman Mepo, Kolombong. – Foto/Bomba

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kebakaran membabitkan tiga rumah jenis kekal terbakar. Dua rumah terbakar sepenuhnya manakala sebuah lagi terbakar 70 peratus.

“Turut terbakar dua kenderaan iaitu Isuzu D-Max terbakar 100 peratus manakala lori Suzuki satu tan terbakar 50 peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Tiga rumah teres dan dua kenderaan terbakar dalam kejadian di Taman Mepo, Kolombong. – Foto/Bomba

Menurutnya, lima rumah lagi berjaya diselamatkan daripada terbakar dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan tiga aliran tiga pancutan dari sumber air pili bomba berhampiran dan jentera.

“Pasukan bomba mengalami kesukaran membuat pemadaman kerana tekanan air dari pili bomba rendah.

“Tiada mangsa dilaporkan terbabit. Operasi terkawal pada 6.11 petang dan ditamatkan 40 minit kemudian,” katanya. – Info X