KOTA KINABALU: Seorang pekerja pembersih kumbahan menemui janin disyaki lelaki di loji kumbahan sebuah apartment di Inanam, di sini, semalam.
Janin yang masih bertali pusat itu ditemui jam 9.30 pagi ketika pekerja terbabit mahu melakukan kerja pembersihan sangkar perangkap sampah di lokasi berkenaan.
Susulan penemuan janin terbabit, pekerja terbabit terus bertindak menghubungi Balai Polis Inanam.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, bertindak dengan laporan polis diterima berkenaan kejadian itu, pihaknya menggerakkan pegawainya bagi menjalankan siasatan di lokasi kejadian.
Katanya, hasil siasatan mendapati pekerja terbabit berada di lokasi bagi menjalankan kerja pembersihan loji kumbahan sebelum melihat objek menyerupai anak patung di dalam sangkar perangkap sampah.

“Pekerja terbabit kemudian mengangkat sangkar itu sebelum mendapati objek itu adalah janin lalu menaikkan sangkar untuk mengeluarkan janin kerana bimbang akan dihanyutkan berikutan arus air kumbahan agak laju.
“Kejadian kemudian dimaklumkan kepada penyelianya sebelum laporan polis dibuat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Mohd Zaidi berkata, pihak jabatan kecemasan Hospital Wanita dan Kanak-Kanak (HWKK) Sabah yang membuat pemeriksaan awal di lokasi mengesahkan bahawa janin yang masih bersama tali pusat itu sudah meninggal.
Katanya, jantina janin tidak dapat dipastikan dengan tepat bagaimanapun berkemungkinan besar jantina mangsa dipercayai lelaki.
“Hasil pemeriksaan Pihak Forensik D10 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah menunjukkan ukuran tinggi janin itu adalah kira-kira 18 sentimeter (cm) dan masih bertali pusat serta lengkap anggota badan.
“Mayat bayi dihantar ke unit forensik Hospital Queen Elizabeth (HQE1) untuk bedah siasat selepas keputusan calitan COVID-19 diperolehi,” katanya.
Beliau berkata, orang awam yang mempunyai maklumat berkenaan kes ini diminta menyalurkannya kepada Pegawai Penyiasat Inspektor Hatikah Ahmad di talian 0168337243.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran,” katanya. – Info X