KOTA KINABALU: Lima penjawat awam dihadapkan ke mahkamah atas tuduhan mengemukakan Penyata Tuntutan Elaun Perpindahan Semasa Menjalankan Tugas Rasmi yang mengandungi butiran palsu berjumlah RM61,500 antara 2017 hingga 2020.
Tertuduh, Rozidah Samudin, 52; Myron Masing, 40; Alif Abdul Fatah, 35; Mohd Effendi Awang Damit, 31 dan Ady Said, 38, bagaimanapun tidak mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepada mereka di hadapan hakim Jason Juga, di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.
Kelima-lima tertuduh yang bertugas di Jabatan Perancang Bandar dan Wilayah (JPBW) Sabah mengemukakan tuntutan itu bagi perpindahan ke beberapa daerah.
Rozidah berdepan dua pertuduhan, manakala empat rakan setugasnya masing-masing berdepan satu pertuduhan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 (2) akta yang sama.
Selain itu, Ady turut berdepan lima lagi pertuduhan mengikut Seksyen 28(1)(c) yang dibaca bersama Seksyen 18 ASPRM 2009 kerana bersubahat dengan empat tertuduh bagi melakukan kesalahan berkenaan.
Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan semula kes untuk semua tertuduh pada 15 Ogos depanSetiap tertuduh dikenakan ikat jamin antara RM10,000 hingga RM15,000 dengan deposit antara RM2,000 hingga RM3,000 bersama seorang penjamin tempatan.
Mahkamah turut memerintahkan semua tertuduh melapor diri di pejabat SPRM setiap dua bulan sekali, manakala pasport masing-masing diserahkan kepada mahkamah.
Semua tertuduh turut diperintah supaya tidak mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sementara menunggu pelupusan kes.
Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh pertama, Rozidah didakwa mengemukakan resit syarikat pengangkutan bagi penghantaran barangan rumah dan kenderaan yang berkaitan dengan tugas rasminya, namun perkhidmatan itu tidak pernah disediakan.
Rozidah dituduh melakukan kesalahan itu di pejabat JPBW Sabah, di sini, pada 2 Oktober 2017 membabitkan tuntutan berjumlah RM17,100 dan pada 5 September 2019 sebanyak RM17,000.
Myron dan Mohd Effendi pula masing-masing didakwa melakukan kesalahan yang sama pada 8 September 2020 membabitkan tuntutan sebanyak RM6,250.
Sementara itu, Alif dituduh melakukan kesalahan berkenaan pada 23 Ogos 2019 membabitkan tuntutan sebanyak RM8,480.
Dalam kes Ady pula, pertuduhan pertama menyatakan dia dituduh melakukan kesalahan yang sama membabitkan tuntutan RM6,450 pada 8 September 2020.
Bagi pertuduhan kedua hingga keenam, Ady didakwa bersubahat dengan Rozidah, Myron, Alif dan Mohd Effendi dalam membuat tuntutan palsu masing-masing antara 2017 dan 2020.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Dzulkarnain Rousan Hasbi dan Rekhraj Singh. – Info X