KENINGAU: Seorang penoreh getah ditemui maut selepas dipercayai dipatuk ular berbisa dalam kejadian di Kampung Bunang Ulu Sook, di sini, 13 Julai lalu.
Lelaki berusia 36 tahun itu ditemui tidak sedarkan diri oleh penduduk kampung yang kemudiannya menghubungi polis untuk mendapatkan bantuan.
Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintenden Nor Rafidah Kasim berkata, polis menerima laporan penemuan pada jam 8 pagi dan terus mengerahkan sepasukan polis ke lokasi untuk menjalankan siasatan lanjut.
Katanya, siasatan awal mendapati, mangsa dalam keadaan terbaring dan tidak sedarkan diri dipercayai sudah meninggal dunia.
“Hasil pemeriksaan awal di tempat kejadian, polis turut menemui satu mesin rumput yang berada berhampiran mangsa.
“Pemeriksaan awal pada badan mangsa pula mendapati beberapa kesan merah kehitaman pada kulit disyaki dipatuk haiwan berbisa,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Nor Rafidah berkata, siasatan turut mendapati, mangsa dikatakan pergi ke kawasan kebun berkenaan untuk menoreh getah dan memotong rumput, sehari sebelum ditemui mati.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).
“Mayat mangsa sudah dibawa keluar dan dihantar ke Hospital Keningau untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – Info X