SEMPORNA: Polis percaya berjaya menyelesaikan lapan kes pecah rumah di sekitar daerah ini selepas menahan seorang lelaki di Dataran Lepa, di sini, Rabu lalu.
Suspek warga tempatan berusia 30 tahun ditahan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, kira-kira jam 11 malam.
Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, polis menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 66 tahun bahawa pelbagai barang peribadi miliknya termasuk barang kemas dan wang tunai serta dokumen peribadi hilang disyaki akibat rumahnya di Kampung Bubul, di sini, dipecah masuk, 18 Julai lalu.
Katanya, akibat kejadian itu, mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM2,000.
“Susulan kejadian itu, jam 11 malam, 19 Julai 2023, bertindak atas maklumat orang awam, pegawai dan anggota polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes pecah masuk yang disiasat.
“Rampasan daripada suspek yang ditahan, iaitu sebuah motosikal, parang, gunting, dompet, dua keping kad pengenalan milik orang lain, lima kad ATM disyaki milik orang lain, telefon bimbit dan satu utas jam tangan,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut di rumah suspek, di Kampung Bubul, menemui dua table dan dua telefon bimbit.
“Seterusnya pada 2 petang semalam, bertempat di lokasi pajak gadai di daerah ini, dengan dipandu arah oleh suspek polis merampas sebentuk cincin emas dan seutas jam tangan disyaki barang curi.
“Dengan tertangkapnya suspek terbabit, polis berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya lapan kes pecah rumah yang berlaku di sekitar daerah ini pada 2023,” katanya.
Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing juga dibuat terhadap suspek dan didapati positif jenis Methamphetamine.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan, Seksyen 6(1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958, Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Polis mengucapkan jutaan terima kasih kepada orang awam yang memberikan maklumat sehingga tertangkap suspek terbabit.
“Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai sebarang kegiatan jenayah boleh menghubungi IPD Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya. – Info X