Search

DJ pusat hiburan ditahan dalam Op Noda

July 24, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Polis menahan seorang lelaki yang bekerja sebagai Deejay (DJ) di sebuah pusat hiburan menerusi Op Noda di sekitar bandar ini, semalam.

Lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu ditahan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau, jam 2.15 pagi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, sepasukan polis ketika menjalankan tugas Operasi Noda melihat sebuah premis yang beroperasi dengan muzik yang dimainkan dengan kuat.

Pusat hiburan yang diserbu kerana melanggar syarat lesen premis di Tawau. – Foto/IPD Tawau

“Hasil pemeriksaan terdapat sembilan pelanggan berada di dalam premis berkenaan.

“Polis menahan seorang lelaki warga tempatan yang bekerja sebagai DJ kerana didapati menjalankan aktiviti hiburan awam lebih masa yang ditetapkan dalam syarat lesen premis,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, polis turut merampas beberapa peralatan muzik serta barangan elektronik.

“Kes disiasat mengikut seksyen 3 Ordinan Hiburan Awam 1958 (Sabah No 23 Of 1958).

“Orang ramai mempunyai maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang, boleh menghubungi Hotline Polis Tawau di talian 089-772121, laman sesawang Facebook IPD Tawau atau balai polis berdekatan,” katanya. – Info X