SANDAKAN: Dua beradik ditemui lemas ketika mandi di sebuah kolam terbiar di Kampung Batu Putih, Jalan Sungai Kayu, di sini, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, mangsa Amira Rolan,19, dan adiknya Muhamad Awira,10, disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.
Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Abdul Fuad Abdul Malek berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada jam 11.18 pagi.

Katanya, hasil siasatan di lokasi kejadian, kedua-dua mangsa terbabit mandi di sebuah kolam terbiar di Kampung Bambu Batu 7 bersama empat lagi keluarganya.
“Bagaimanapun, kedua-dua mangsa terbabit tenggelam dan tidak dapat berenang, sebelum lemas di kolam berkenaan.
“Kedua-dua mangsa berjaya diselamatkan oleh penduduk kampung yang memberi bantuan dan dibawa ke hospital menggunakan ambulan,” katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.
Menurutnya, kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan ketika menerima rawatan pada jam 12.40 tengah hari.
“Siasatan masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. – Info X