RANAU: Seorang lelaki warga emas dikhuatiri hilang ketika keluar berburu di dalam hutan Kampung Pahu Kaingaran, di sini, semalam.
Mangsa Jurin Sahantoh, 62, dikatakan keluar ke hutan pada 21 Julai lalu untuk aktiviti memburu namun masih tidak pulang sehingga hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan orang hilang dalam hutan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ranau pada 8.05 pagi semalam.
Katanya, susulan laporan itu pasukan bomba bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan orang awam bergerak ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi, pasukan bomba mendapatkan maklumat lengkap dari ahli keluarga dan lokasi terakhir mangsa dilaporkan memasuki hutan pada 21 Julai 2023 bagi tujuan memburu.
“Pasukan mencari dan menyelamat (SAR) memulakan pencarian mangsa bermula dari lokasi hutan yang mangsa dilaporkan masuk dengan radius tiga hingga lima kilometer persegi.
“Bagaimanapun mangsa masih gagal ditemui dan operasi ditangguhkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Ridwan berkata, operasi SAR hari ke kedua disambung semula pada 7 pagi ini, sekitar radius tiga hingga lima kilometer persegi.
“Maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X