KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah menahan dua pemilik syarikat kerana disyaki menggunakan dokumen palsu untuk tujuan menipu bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan berjumlah lebih RM1.1 juta.
Menurut sumber, kedua-dua suspek lelaki berusia 40an dipercayai ditahan kira-kira jam 2 petang ketika hadir di pejabat SPRM cawangan Tawau, hari ini.
“Suspek disyaki terbabit menggunakan dokumen palsu pada tahun 2020 untuk tujuan menipu bagi mendapatkan kerja penyelenggaraan di bawah pakej ransangan ekonomi 2020,” kata sumber itu lagi.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM dan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Tawau pada 9 Ogos 2023,” katanya. – Info X