Search

Polis masih siasat kes keganasan rumah tangga membabitkan ‘Datuk’

August 10, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Siasatan berhubung kes keganasan rumah tangga yang didakwa membabitkan seorang wanita berusia 30 tahun, berlaku di Inanam, sedang dijalankan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, setakat ini pihaknya menerima tiga laporan polis berhubung kejadian berkenaan.

“Polis menerima dua laporan polis daripada wanita yang mendakwa dicederakan oleh suaminya masing-masing pada 19 April dan 18 Julai tahun ini dan kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 18a Akta Keganasan Rumah Tangga.

“Satu lagi laporan diterima daripada suami pengadu pada 25 Julai lalu dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Mohd Zaidi berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan kelewatan siasatan laporan yang dibuat kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) berhubung insiden berkenaan.

Katanya, semua kertas siasatan yang dibuka masih dalam proses melengkapkan siasatan.

Terdahulu, seorang wanita yang mendakwa menjadi mangsa keganasan rumah tangga menggesa supaya polis mengambil tindakan tegas termasuk menjalankan siasatan terhadap laporan yang dilakukan terhadap suaminya.

Wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Wong, 31 itu berkata laporan polis dibuat susulan tiga insiden dia dicederakan oleh suaminya bergelar ‘Datuk’ yang juga pegawai tinggi kerajaan di sebuah kementerian di negeri ini. – Info X