Search

Lelaki parah ‘dikapak’ bekas suami teman wanita

August 11, 2023

Junaidi Ladjana

KOTA KINABALU: Akibat cemburu, seorang lelaki parah selepas ditetak menggunakan kapak oleh bekas suami teman wanitanya di kawasan terbuka bulatan berhampiran Menara Kinabalu, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira 9 malam itu, mangsa berusia 37 tahun luka di muka, tangan dan kaki hingga ibu jari kaki kanan hampir putus.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa bersama teman wanitanya berusia 30 tahun sedang makan di dalam kereta di kawasan berkenaan.

Katanya, tiga lelaki termasuk seorang suspek adalah bekas suami teman wanita mangsa kemudian menghampiri mangsa sebelum bertindak menyerang menggunakan sebilah kapak.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah.

“Mangsa ditetak guna kapak di dalam kereta berkali-kali oleh bekas suami teman wanitanya hingga cedera dimuka, tangan dan kaki.

“Mangsa dan teman wanitanya berjaya menyelamatkan diri lalu menuju ke Balai Polis Alam Mesra,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Queen Elizabeth bagi mendapatkan rawatan lanjut manakala teman wanitanya tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Motif serangan berkenaan dipercayai akibat rasa cemburu dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan dengan sengaja menyebabkan cedera parah menggunakan senjata,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya sedang memburu tiga individu iaitu suspek yang terbabit dalam kes berkenaan.

“Tiga suspek yang dikehendaki adalah Winhal Jalali, 37, iaitu bekas suami kepada teman wanita mangsa.

“Dua lagi suspek iaitu Abdel Jalali, 27, dan seorang lagi belum dikenalpasti iaitu rakan suspek,” katanya.

Sehubungan itu, Mohd Zaidi berkata, polis meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat berhubung kejadian atau individu yang dikehendaki untuk tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi pegawai penyiasat kes iaitu Inspektor Muhammad Khaidir Zakaria di talian 014-8019618.

Difahamkan, wanita itu berkahwin adat kampung dengan suspek pada 2015 dan mereka kemudian bercerai sebulan yang lalu dan wanita mengenali mangsa sejak enam bulan sebelum menjalinkan hubungan kekasih sejak dua minggu lalu. – Info X