Search

Dua rumah musnah terbakar

August 16, 2023

Info X Reporters

KENINGAU: Dua buah rumah musnah dalam kebakaran di Kampung Punteh, di sini, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, insiden terbabit tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.29 pagi.

Katanya, seramai 13 anggota bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau digerakkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi, didapati kebakaran membabitkan dua rumah dan operasi pemadaman segera dilakukan.

“Pasukan bomba menjalankan operasi pemadaman menggunakan satu aliran dua pancutan dengan sumber air dari jentera untuk mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, dua rumah musnah sepenuhnya dan tiada mangsa dilaporkan terbabit.

“Operasi terkawal pada 7.06 pagi dan operasi ditamatkan 15 minit kemudian.

“Punca kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – Info X