Search

Hati-hati keluar kenyataan di media sosial – ESSCOM

August 16, 2023

Info X Reporters

LAHAD DATU: Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan berhati-hati ketika menulis sesuatu kenyataan terutamanya di media sosial bagi mengelakkan kegusaran awam akibat disalah tafsir maksudnya.

Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Deputi Komisioner Victor Sanjos berkata, sebarang kenyataan terutamanya membabitkan tajuk serta kandungan sesuatu berita perlu dipastikan jelas dan sahih.

Katanya, peringatan itu dibuat susulan kejadian tular sebuah video yang dimuat naik di media sosial dengan keterangan atau tajuk berkaitan penculikan di Pulau Mabul, Semporna.

“Tajuk video berkenaan tidak memberi gambaran yang sebenar dan saya percaya bahawa ia hanya untuk menarik minat pembaca.

“Hasil siasatan mendapati ‘nothing wrong’ dengan apa yang tular, tetapi kalau ada pandangan, pendapat atau komen mengatakan bahawa dia hampir diculik, itu tidak berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat pelepasan peserta Program ‘Sail Malaysia: Passage To the East 2023′ di W Bay Payang, semalam.

Victor berkata, orang ramai diingatkan supaya bijak menggunakan bahasa agar tidak disalah tafsir oleh mana-mana pihak.

Katanya, beliau juga berharap, mereka yang datang ke kawasan Zon Selamat Sabah Timur (ESSZONE) dan ingin berkongsi pengalaman atau promosi perlu menggunakan perkataan yang sesuai.

Terdahulu, tular sepasang suami isteri memuat naik sebuah video dengan tajuk ‘I almost got kidnapped by pirates. The fisherman might have been informants for the pirates as they asked me to go with them in their boat’.

Video berdurasi 9 minit 40 saat berkenaan mengandungi pengalaman mereka ketika berada di Pulau Mabul, Semporna.

Beliau menjelaskan, kehadiran 32 pelayar dari pelbagai negara bersama 12 kapal layar itu membuktikan perairan pantai timur Sabah selamat untuk dikunjungi oleh pelancong.

“Kawasan pantai timur Sabah bukan sahaja cantik tetapi, sangat selamat dengan adanya pasukan keselamatan yang bertugas menjaga keselamatan.

“Saya berharap semua peserta dapat menceritakan dan berkongsi pengalaman dengan keluarga serta rakan mereka bahawa Sabah selamat untuk dikunjungi,” katanya. – Info X