KUCHING: Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar dijangka akan mengangkat sumpah sebagai pemangku Yang di-Pertua Negeri esok.
Menurut laporan Utusan Borneo yang memetik sumber memberitahu, pelantikan pemangku TYT adalah perlu kerana Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud melanjutkan tempoh percutiannya di luar negara.
Tempoh bagi pemangku TYT itu akan diumumkan oleh Jabatan Premier Sarawak. Asfia sebelum ini juga pernah dilantik sebagai pemangku Yang di-Pertua Negeri pada 1 Disember 2019 hingga 11 Januari 2020.
Difahamkan, pemangku Yang di-Pertua Negeri akan melaksanakan semua kuasa perlembagaan diberikan kepada Yang di-Pertua Negeri semasa ketiadaan Taib.
Kali terakhir Asfia dilantik sebagai pemangku Yang di-Pertua Negeri pada 1 Disember 2019 hingga 11 Januari 2020.
Taib dan isteri Toh Puan Datuk Patinggi Ragad Kurdi Taib melancong ke luar negara kira-kira sebulan lalu.
Pada 3 Ogos lalu, setiausaha sulit Taib Junih Salleh Ahmad dalam satu kenyataan, menyangkal dakwaan mengenai keadaan Yang di-Pertua Negeri, memaklumkan Taib akan pulang ke tanah air dalam tempoh terdekat jika dibenarkan doktor yang merawatnya di sana. – Info X