Search

Budak 9 tahun maut ditikam abang

August 19, 2023

Info X Reporters

RANAU: Seorang kanak-kanak lelaki berusia sembilan tahun maut ditikam abangnya di rumah mereka di Kampung Kinapulidan, di sini, Khamis lalu.

Mangsa warga tempatan yang parah di bahagian perut disahkan meninggal dunia di Unit Kecemasan Hospital Ranau.

Ketua Polis Daerah Ranau, Deputi Superintendan Simiun Lomudin berkata, siasatan awal mendapati kejadian berlaku pada 5.40 pagi ketika mangsa sedang berehat di ruang tamu rumah mereka.

“Mangsa ditikam di bahagian perut menggunakan sebilah pisau oleh abangnya.

“Mangsa yang parah kemudian dihantar ke Hospital Ranau oleh jirannya namun disahkan meninggal dunia pada 11.10 pagi hari yang sama ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan Hospital Ranau,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Anggota polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian.

Simiun berkata, suspek yang juga abang mangsa ditahan di lokasi kejadian.

“Polis masih menyiasat motif sebenar kejadian namun tidak menolak kemungkinan suspek mengalami masalah mental.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Sementara itu, Simiun berkata orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu boleh menghubungi Ibu Pejabat Daerah (IPD) Ranau bagi membantu siasatan. – Info X