LABUAN: Seorang pegawai dan anggota penguat kuasa ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana menerima rasuah RM4,000 sebagai sogokan tidak mengambil tindakan terhadap suspek kesalahan narkotik.
Menurut sumber, kedua-dua suspek terbabit ditahan kira-kira 3 petang tadi di Pejabat SPRM Labuan ketika hadir memberi keterangan.
“Pegawai dan anggota yang bertugas di cawangan narkotik itu dipercayai menerima wang sogokan berjumlah RM3,000 menerusi mesin wang deposit manakala selebihnya menerusi beberapa transaksi pindahan perbankan dalam talian.
“Transaksi itu dilakukan antara September 2022 hingga Mac 2023,” katanya.
Sementara itu, Pengarah SPRM Labuan, Datu Robbyie Shym Datu Pindatun ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.
“Kedua-dua suspek dijangka akan dibawa ke Mahkamah Majistret Labuan esok bagi tujuan permohonan reman,” katanya. – Info X