TAWAU: Mahkamah Majistret di sini menjatuhkan hukuman denda RM10,000, masing-masing terhadap dua lelaki selepas mereka mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk.
Yap Siew Ting, 54, dan Fajar Baddare,39, membuat pengakuan itu ketika pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Dayang Aidaku Amira Aminuddin, hari ini.
Mengikut kertas pertuduhan, Yap didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Sin Hwa Seng, pada jam 12.34 tengah malam, 5 Ogos lalu.
Manakala Fajar pula, didakwa melakukan kesalahan berkenaan pada 23 Julai lalu di Jalan Sin Hwa Seng, kira-kira jam 12.25 tengah malam.
Hasil ujian saringan pernafasan didapati kandungan alkohol dalam darah kedua-dua tertuduh melebihi had yang dibenarkan iaitu 50 miligram etil dalam 100 mililiter darah.
Kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 45A (1) APJ 1987, jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda sehingga RM30,000.
Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Asisten Superintenden Joan Lee, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Joan Lee dalam hujahnya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman yang tinggi selepas mengambil kira kepentingan awam dan mencegah daripada berlakunya kemalangan jalan raya akibat pemandu dibawah pengaruh alkohol.
Kes mabuk di Tawau juga semakin meningkat, oleh itu hukuman penjara dapat memberi kesedaran serta peringatan kepada tertuduh dan pemandu lain.
Dayang Aidaku Amira kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM10,000 terhadap kedua-dua tertuduh serta penjara tiga hari kepada Yap dan Fajar selama lima hari.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dihukum penjara tiga bulan jika gagal membayar denda dan lesen memandunya digantung dua tahun. – Info X