Search

Polis Kudat dekati masyarakat, tingkat kesedaran jenayah

August 24, 2023

Info X Reporters

KUDAT: Program Tinjauan Mesra (Walkabout) yang dilaksanakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kudat mampu meningkatkan kesedaran berkaitan jenayah kepada masyarakat di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kudat, Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, program berkonsepkan ‘Meet and Greet’ dan ‘Omnipresence’ itu dijalankan di dua lokasi berbeza termasuk Pasar Tamu Merah serta Pulau Banggi Kudat.

“Sepanjang Program Kepolisan Komuniti ini dijalankan, pihak polis dapat mendekati masyarakat melalui konsep turun padang dan memberi info serta pendedahan kepada orang ramai berkaitan kesedaran jenayah setempat di daerah ini.

“Kita juga mengedarkan risalah yang mengandungi pelbagai info berkaitan jenayah kekerasan harta benda dan kes penipuan scammer bagi memastikan penduduk di sini tidak mudah menjadi mangsa jenayah atau penipuan dalam talian yang semakin membimbangkan kini,” katanya ketika ditemui, semalam.

Turut hadir, Ketua Bahagian IPD Kudat, pegawai serta Skuad Polis Aman Wanita (AMANITA) IPD Kudat.

Mohd Haris bersama pegawai dan anggota IPD Kudat ketika program berkonsepkan ‘Meet and Greet’ dan Omnipresence di Pulau Banggi. – Foto/IPD Kudat

Mengulas lanjut, beliau berkata, sepanjang program ini juga pihak polis dapat memberi panduan dan penerangan secara terus kepada orang ramai dengan lebih teliti lagi tentang bagaimana masyarakat boleh bekerjasama dengan pihak polis dalam konteks pencegahan jenayah di kawasan masing-masing.

“Pada masa sama, kita juga menggalakkan masyarakat menggunakan aplikasi volunteer smartphone patrol (vsp) yang boleh dimasukkan ke dalam telefon bimbit yang mana ia boleh membantu dalam usaha kita mengekalkan keamanan dan ketenteraman awam bersesuaian dengan teknologi tanpa batasan kini.

“Kaunter “Talk To Us” juga dibuka bagi memudahkan masyarakat setempat menyalurkan maklumat kepada pihak Polis dalam usaha memerangi jenayah yang memerlukan kerjasama erat antara masyarakat dan polis bersesuaian dengan tema ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya.

Haris berkata, konsep “Omnipresence” dalam program ini juga mampu mewujudkan rasa selamat dalam kalangan masyarakat setempat seiring kehadiran polis di lapangan.

Mohd Haris memberikan risalah kepada peniaga ketika mengadakan Program Tinjauan Mesra di Pasar Tamu, Kudat. – Foto/IPD Kudat

“Program seumpama ini akan dijalankan dari semasa ke semasa bagi memastikan jenayah di daerah ini dapat dikurangkan.

“Saya juga meminta supaya masyarakat di daerah ini menyalurkan sebarang maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di persekitaran mereka bagi membolehkan usaha pencegahan dapat dilaksanakan dengan segera,” katanya. – Info X