PENAMPANG: Sikap degil dua lelaki yang memandu kenderaan dalam keadaan mabuk mengundang padah apabila ditahan di Jalan Kota Kinabalu – Penampang, berhadapan SMK Bahang, di sini, malam tadi.
Kedua-dua mereka masing-masing berusia 31 tahun ditahan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang dalam Op Mabuk yang berakhir 2 pagi tadi.
Timbalan Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Sammy Newton berkata, sebanyak 40 kenderaan diperiksa dan dua lelaki ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.
“Kedua-dua mereka ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 atas kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had yang ditetapkan.
“Sabit kesalahan boleh dipenjara selama dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Sammy turut menyatakan, ketika Op Mabuk dijalankan, polis mengeluarkan 11 saman di atas pelbagai kesalahan lalu lintas.
“Seramai 55 individu diperiksa dan operasi kali ini berjalan dengan lancar tanpa sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.
“Operasi ini juga antara lainnya bertujuan untuk memantau keselamatan pengguna jalan raya supaya sentiasa patuh dengan undang-undang lalu lintas yang ditetapkan,” katanya. – Info X