SANDAKAN: Selepas bertahun lamanya dibelenggu masalah bekalan elektrik tidak stabil, penduduk di kawasan Makiau, Jalan Cecily, Karamunting, di sini, akhirnya boleh menarik nafas lega apabila permasalahan mereka itu diselesaikan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Karamunting, George Hiew Vun Zin berkata, beliau telah menerima aduan mengenai masalah itu menerusi pasukan yang ditubuhkan iaitu Task Force Team ADUN Karamunting.
Katanya, penduduk-penduduk yang terkesan terpaksa memilih peralatan elektrik untuk digunakan akibat bekalan elektrik yang tidak kuat dan tidak stabil selain bekalan elektrik di rumah mereka sering terputus sehingga mengakibatkan banyak peralatan elektrik mereka rosak.
“Selepas menerima aduan ini, pasukan saya terus menghubungi pihak SESB (Sabah Electricity Sdn Bhd) dan selepas membuat susulan serta perbincangan bersama mereka beberapa kali, akhirnya mereka membuat keputusan untuk menggantikan kesemua kabel elektrik yang telah usang kepada yang baharu.
“Difahamkan masalah itu timbul kerana kabel elektrik yang sudah terlalu usang. Kabel elektrik yang baharu akan menggunakan kabel jenis 180MW untuk menggantikan yang lama iaitu jenis 100MW,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya, menurut pihak SESB, bekalan elektrik yang disalurkan daripada stesen janakuasa ke kawasan Jalan Cecily sepatutnya sampai tahap 220 kilowatt/jam, namun kawasan itu hanya menerima 13 hingga 15 kWj akibat kabel elektrik yang terlalu usang.
Sebelum ini, penduduk kampung di kawasan Jalan Cecily yang terdapat kira-kira 100 buah rumah mengadu bahawa masalah bekalan elektrik tidak stabil telah bermula beberapa tahun lalu dan menjada semakin teruk sejak kebelakangan ini.
Kerja penggantian kabel elektrik di kawasan Jalan Cecily telah bermula sejak minggu lalu dan akan dilakukan secara berperingkat sehingga selesai.
George turut berterima kasih kepada pihak SESB kerana mengambil tindakan ke atas aduan yang disampaikan oleh pasukan beliau, Task Force Team ADUN Karamunting.
Beliau turut berharap kerja penukaran kabel itu dapat diselesaikan secepat mungkin agar penduduk di kawasan Makiau akan dapat mendapat perkhidmatan bekalan elektrik yang stabil dan dapat kembali menjalani kehidupan seharian seperti biasa. – Info X