Search

Polis Tawau lupus barang rampasan bernilai RM161,000

August 25, 2023

Info X Reporters

TAWAU: Senapang angin, bakakuk dan rokok antara barang rampasan yang dilupuskan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau membabitkan nilai keseluruhan RM161,000 yang diperoleh sejak 2016 hingga tahun ini.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asistant Komisioner Jasmin Hussin berkata, pelupusan barang kes ini membabitkan pelbagai jenis rokok seludup, senapang buatan sendiri jenis bakakuk dan senapang angin di pekarangan IPD Tawau.

Katanya, turut dimusnahkan adalah amunisi iaitu peluru dan kelongsong peluru, parang, kayu hoki, mercun membabitkan kes yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan serta peralatan judi dan judi dalam talian.

Sebahagian barangan rampasan yang dilupuskan oleh IPD Tawau. – Foto/IPD Tawau

“Pelupusan barang kes turut disaksikan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Tawau Deputi Superintendan Mursalin Mahmud serta Pegawai Penyiasat BSJ IPD Tawau.

“Barang kes yang dilupus ini adalah barang yang dirampas daripada beberapa kes jenayah sejak 2016 sehingga 2023 membabitkan 44 kertas siasatan dengan arahan mahkamah.

“Semua yang dilupuskan ini juga membabitkan kertas siasatan yang sudah diselesaikan dan mendapat arahan pelupusan daripada Timbalan Pendakwa Raya serta kelulusan Mahkamah mengikut Seksyen 406 Kanun Prosedur Jenayah,” katanya.

Jasmin meneliti senapang buatan sendiri yang dilupuskan IPD Tawau. – Foto/IPD Tawau

Tambahnya, kaedah pelupusan barangan dijalankan secara potong, bakar dan tanam ke dalam tanah selain melalui kaedah pengurusan sisa produk elektrik dan elektronik.

Sementara itu, Jasmin juga menasihatkan orang ramai supaya tidak terbabit dengan kegiatan jenayah membabitkan elemen penyeludupan dan aktiviti perjudian yang menyalahi undang-undang. – Info X