SANDAKAN: Tindakan enam lelaki menangkap ikan menggunakan senjata panah di kawasan larangan di perairan Pulau Billean, Beluran menerima padah apabila ditahan Pasukan Polis Marin, tengah malam tadi.
Semua lelaki warga tempatan berusia 28 hingga 34 tahun ditahan PPM Sandakan menerusi Op Taring Gelora, kira-kira jam 12.30 tengah malam.
Mereka dipercayai menjalankan aktiviti perikanan di Kawasan Pemuliharaan Marin Kepulauan Sugud (SIMCA) dengan peralatan yang dilarang dalam Akta Perikanan 1985 iaitu panah.
Sebanyak 320 kilogram hasil laut turut dirampas yang dianggarkan bernilai RM8,035 dan nilai keseluruhan rampasan bot, panah dan hasil laut bernilai RM212,505.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.
Katanya, semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Jabatan Perikanan cawangan Sandakan untuk tidakan lanjut. – Info X