Search

Gagasan Rakyat Tambunan sasar 10,000 keahlian

August 28, 2023

Info X Reporters

TAMBUNAN: Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Tambunan memperhebatkan gerakan penambahan 10,000 keahlian dalam usaha mengukuhkan kedudukan parti itu di daerah ini.

Ketuanya, Datuk Victor P Paut sehubungan itu menggesa pemimpin parti khususnya di peringkat cawangan agar berusaha menggerakkan kempen penambahan keahlian yang diperlukan.

“Apa yang kita perlukan ialah seorang ahli sedia ada (telah berdaftar) untuk mendaftar sekurang-kurangnya 10 orang ahli baru.

“Kita tahu bahawa ini tidak mudah tetapi tidak mustahil jika kita bersatu, berkerja keras  mengembleng tenaga bagi memastikan hasrat kita untuk menyasar 10,000 keahlian dapat direalisasikan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Mesyuarat Cawangan Berkelompok Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan, bertempat di Dewan Teratak Datuk Amelia Ajun, Kampung Galiung Tambunan pada Sabtu.

Gagasan Rakyat Bahagian Tambunan kini mempunyai 53 cawangan berdaftar dengan 1,500 keahlian.

Parti itu juga telah mengedarkan 4,500 borang keahlian baru. Mesyuarat itu dihadiri 300 perwakilan, disertai 100 orang pemerhati.

Turut hadir Timblan Ketua Bahagian Gagasan Rakyat Tambunan Mohd Yassin Yunus; Naib Ketua Bahagian, Hussein Hassan; Setiausaha Bahagian Mohd Hajjaz Iqbal; Ketua Penerangan, Abdul Rahim Yassin; Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Amelia Ajun; Ketua Pergerakan Pemuda, Ar Rafi Yasin dan Naib Ketua Pergerakan Beliawanis, Farah Trancisca Sylverster.

Sementara itu, Victor menjelaskan bahawa kehadiran Gagasan Rakyat di Tambunan adalah untuk menguatkan lagi sokongan akar umbi kepada Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menghadapi pilihanraya akan datang.

“Sokongan yang sama juga diperlukan bagi menyokong kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor selaku Presiden Parti Gagasan Rakyat Sabah dan pengerusi GRS.

Katanya, walaupun masih ada lebih dua tahun sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah diadakan, persediaan awal bagi meningkatkan sokongan rakyat terhadap Gagasan Rakyat dan GRS perlu dilaksanakan dari sekarang.

Dalam pada itu, Victor berkata, beliau menghargai dan berterima kasih atas kehadiran semua ahli jawatankuasa (AJK) Bahagian, AJK sayap bahagian Wanita, pemuda, beliawanis, Ketua-Ketua Cawangan dan perwakilan yang hadir dalam mesyuarat berkelompok berkenaan.

“Ini menunjukkan komitmen kita dalam mengangkat perjuangan dan martabat parti serta menjayakan misi`Sabah Maju Jaya’ dan misi `Malaysia Madani,” katanya.

Di akhir majlis itu, Victor telah menerima borang keahlian daripada empat cawangan baru ditubuhkan iaitu Cawangan Tontolob Liwan, Cawangan Libang Ulu, Cawangan Tinompok Liwan, Cawangan Tibabar dan Cawangan Molout.

Victor juga turut menyampaikan sumbangan kepada Puan Yumoi Kilog, Sim Lek Cho dan Sius Amit Gimbang serta Richard Pius yang mewakili Wataniah Daerah Tambunan. – Info X