Search

Lelaki hilang sejak seminggu lalu ditemui mati

August 28, 2023

Info X Reporters

PENAMPANG: Mayat seorang lelaki yang dilaporkan hilang sejak seminggu yang lalu, ditemukan di kawasan hutan berbukit di Kampung Bambangan Tudon, di sini, hari ini.

Mayat Kevin Lokuman, 32, ditemukan oleh penduduk kampung kira-kira tiga kilometer dari kawasan kampung berkenaan pada 10.30 pagi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kehilangan mangsa pada 24 Ogos lalu.

“PGO Sabah terima panggilan dari Balai Polis Tamparuli mengatakan terdapat seorang lelaki dikhuatiri hilang dari rumah kediaman keluarganya.

“Menurut maklumat awal dari pemanggil, mangsa dilaporkan keluar rumah tanpa memberitahu ahli keluarga jam 5 pagi, pada 22 Ogos lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, susulan itu operasi mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan dan pada hari kelima SAR mangsa ditemui oleh penduduk kampung.

Anggota bomba mengangkat mayat mangsa yang ditemui kira-kira tiga kilometer dari kawasan Kampung Bambangan Tudon, Penampang. – Foto/Bomba

“Pasukan bomba tiba di Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) pada 12.50 tengah hari. Seterusnya ke lokasi mangsa yang ditemui oleh penduduk kampung.

“Pasukan bomba mengambil masa disebabkan oleh laluan yang sukar iaitu kawasan hutan berbukit,” katanya.

Katanya lagi, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis pada jam 6.14 petang.

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada 6.24 petang,” katanya. – Info X