Search

Operasi mencari Qiezelle Yukiko masuk hari ke-3

August 30, 2023

Info X Reporters

KOTA BELUD: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) remaja perempuan yang dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus sungai semasa menjalankan aktiviti mandi di Daradaat View Kampung Ratau di sini memasuki hari ketiga.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Belud Muhammad Syazwan Latun berkata operasi SAR yang dimulakan jam 8 pagi dilaksanakan di sekitar kawasan permukaan sungai dan sepanjang pinggir sungai.

Katanya operasi dibahagikan kepada enam kumpulan keseluruhan.

“Radius pencarian bagi kumpulan pertama dan kedua sejauh lapan kilometer, kumpulan tiga melakukan pencarian tujuh kilometer manakala kumpulan empat hingga enam melaksanakan SAR bagi kawasan seluas 15 kilometer,” katanya.

Beliau berkata operasi dilaksanakan sepasukan pegawai termasuk Unit Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA), Pasukan Bomba Bantuan (PBB), Unit Anjing Pengesan (K9) dan Unit Dron Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon Kudat.

Tambahnya SAR turut dibantu agensi lain termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pusat Gerakan Am (PGA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Rafting Borneo.

Terdahulu mangsa Qiezelle Yukiko Gerald, 14, dilaporkan hilang semasa berada di sungai terbabit kira-kira jam 2.30 petang 28 Ogos lalu.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah menerima  panggilan kecemasan pada jam 2.49 petang melalui Sistem MERS999 mengatakan terdapat seorang mangsa dilaporkan lemas di sungai dan dibawa arus.

“Menurut saksi, mangsa dilaporkan lemas di bawah Jambatan Gantung Daradaat View semasa melakukan aktiviti mandi manda bersama keluarga pada jam 2.30 petang,” katanya.

Tambahnya bertindak dengan maklumat, pasukan Bomba menjalankan operasi SAR kepada dua bahagian iaitu operasi SAR di sepanjang pinggir sungai membabitkan keluasan sehingga empat kilometer.

Katanya operasi SAR juga dijalankan dengan radius 50 meter dari mangsa dilaporkan hilang.

“Operasi SAR hari pertama ditangguhkan pada jam 8 malam.

“Sehingga kini mangsa belum dijumpai dan sebarang maklumat akan dikemaskini dari semasa ke semasa,” katanya. – Info X