KOTA KINABALU: Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, cadangan supaya perbelanjaan untuk latihan sukan, selain pembelian peralatan sukan diberikan pelepasan cukai individu mulai tahun depan adalah fokus utama pihaknya.
Katanya, perkara itu telah dikemukakan kementeriannya kepada Kementerian Kewangan untuk pembentangan Belanjawan 2024.
Beliau berkata, pendekatan itu adalah antara yang dilihat dapat menggalakkan ibu bapa menghantar anak untuk menjalani latihan sukan, sekali gus membantu pembangunan sukan di negara ini.
“Sesi libat urus dengan Kementerian Kewangan masih lagi berjalan dan kita menyampaikan hasrat kita mengenai pelepasan cukai untuk latihan sukan yang menjadi fokus kita tahun depan.
“Kita mahu supaya pelepasan cukai diberikan kepada ibu bapa atau sesiapa yang berbelanja untuk latihan sukan. Sekarang hanya pembelian peralatan sukan diberikan pelepasan.
“Jadi kita nak apabila berbelanja untuk latihan sukan, contohnya latihan badminton dan kelas renang untuk anak, yuran setiap bulan itu kita harap dapat diberikan pelepasan cukai,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Ekspo Industri Sukan Sabah 2023, di sini, hari ini.
Turut hadir ialah Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Ellron Angin.
Hannah berkata demikian ketika ditanya mengenai perkara yang diminta kementeriannya untuk dimasukkan dalam Belanjawan Negara pada tahun depan.
Mengulas lanjut, beliau berkata langkah itu secara tidak langsung dapat mendorong rakyat negara ini mengamalkan gaya hidup sihat, selain mendidik anak menyertai aktiviti sukan bermula dari usia kanak-kanak.
Pada masa sama, katanya, ia juga dapat meningkatkan khidmat latihan sukan yang boleh memberi manfaat kepada atlet negara bagi menjadi jurulatih jika ramai menggunakan khidmat latihan sukan.
“Kita sedang memohon perkara ini, tapi ini adalah hasrat kita kerana kita mahu sektor industri sukan membangun bersama. Kalau rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat, kita akan kurang berbelanja di hospital untuk rawatan,” katanya.
Dalam hal lain, Hannah mengakui banyak persatuan sukan termasuk di peringkat negeri dan nasional, selain di peringkat sekolah berdepan masalah dana untuk membiayai kejohanan sukan yang disertai.
Katanya, kebanyakannya bergantung kepada penajaan daripada pelbagai pihak, disebabkan perbelanjaan untuk industri sukan yang agak kurang.
“Memang belanja untuk industri sukan mungkin kurang kerana semua bergantung kepada penajaan. Sebab itu kita amat menghargai penajaan sukan.
“Kalau ada duit, beri tajaan kepada Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) untuk perbelanjaan dalam sukan. Saya percaya ini juga mendapat perhatian Menteri Pendidikan dalam memperkasakan lagi penganjuran Majlis Sukan Sekolah Malaysia (MSSM),” katanya.
Beliau diminta mengulas mengenai isu wakil dari Sabah yang berdepan masalah dana untuk ke kejohanan MSSM, baru-baru ini.
Sehubungan itu, beliau meminta agar lebih banyak syarikat atau mana-mana pihak tampil menyumbang penajaan sukan sebagai sokongan terhadap usaha membangunkan industri sukan di negara ini.
Katanya, bukan setakat sokongan dana untuk sukan, malah tajaan berupa hadiah cabutan bertuah dalam mana-mana acara sebaiknya diberi dalam bentuk peralatan sukan.
“Kalau ada ‘lucky draw’ tolong bagi peralatan sukan kerana kanak-kanak memang meminati alat sukan,” katanya. – Info X