KOTA KINABALU: Setakat hari ketiga kejohanan olahraga Majlis Sukan Sekolah (MSS) Sabah yang berlangsung di Keningau, sebanyak 11 rekod baharu dicatatkan.
Atlet lelaki bawah 18 tahun ke bawah (L18) dari Tambunan, Mark Paladius mengungguli acara ‘lompat’ apabila bukan sahaja meraih emas bagi acara lompat jauh dan lompat kijang, malah turut mencatat rekod baharu bagi dua acara berkenaan.
Bagi acara lompat jauh, Mark mencatat lompatan sejauh 7.19 meter, sekali gus memadamkan rekod lama 6.96 meter yang dipegang Gersom Bious (Pedalaman) pada 2012.
Dia kemudian sekali lagi memperbaharui rekod kejohanan bagi acara lompat kijang apabila mencatat lompatan sejauh 15.04 meter bagi mengatasi rekod lama 14.99 meter yang dipegang Alvin Roland (Ranau) pada 2018.
Atlet L15 daripada Tawau, Ahmad Alhakim Abd Rakib juga mencatat rekod baharu bagi acara lari 400 meter apabila mencatat masa 51.66s di peringkat akhir, sekali gus memadamkan rekodnya sendiri 52.62s di peringkat saringan.
Pada peringkat saringan, Ahmad Alhakim mengatasi rekod 52.68s yang dicatat Mumamad Azri Pirasa (Kudat) pada 2018.
Atlet P12 dari Tawau, Nurelfira Umaira Mohd Yusuf turut mencapai kejayaan hampir sama dengan Ahmad Alhakim apabila dua kali memperbaharui rekod kejohanan dalam acara 80 meter lari berpagar.
Nurelfira mencatat masa 12.41s di final acara itu bagi memperbaharui rekodnya sendiri 12.49s yang dicatat di peringkat separuh akhir.
Terdahulu pada separuh akhir, Nurelfira memadamkan rekod 12.81s yang dicatatkan Naura Nurul Fatihiah (Tawau) pada 2020.
Atlet P15 dari Tambunan, Abernetha Elissa Tadius juga dua kali memperbaharui rekod kejohanan bagi acara 100 meter lari berpagar.
Dia mencatat masa 14.49s di final bagi memperbaharui rekod 14.94s yang dilakukan pada peringkat separuh akhir.
Abernetha di peringkat separuh akhir memadamkan rekod 15.54s yang dicatatkan Nur Fatiha Najwa (Tawau) pada 2020.
Atlet L12 dari Tawau, Asrul Nurung yang baru berusia 11 tahun mencipta kejutan bagi acara lompat jauh apabila memecahkan rekod yang dicatatkan pada 1974.
Asrul mencatat lompatan sejauh 6.15 meter bagi memadamkan rekod 5.14 meter yang dicatatkan Raining Tambako (Sandakan), 49 tahun lalu.
Sementara itu, atlet P15 daripada Pensiangan, memecahkan rekod acara lontar peluru dengan catatan 11.08 meter di final.
Dia memecahkan rekod 11.02 meter yang dipegang oleh Elaine Pang Yit Ly (Sandakan) pada 2016.
Satu lagi rekod yang dipecahkan ialah acara 110 meter lari berpagar menerusi atlet L15 (Telupid/Tongod) yang mencatat masa 14.45s di final.
Dia memecahkan rekod 14.49s milik Elvin Esak (Ranau) yang dilakukan pada 2020. – Info X