RANAU: Cukup ceria apabila semua rakyat di daerah ini memerhatikan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menyertai tarian kebudayaan masyarakat dusun pada Majlis Santapan Bersama Rakyat sempena Kembara Kenali Borneo di Pentas Budaya, Kundasang, di sini, malam tadi.
Tunku Azizah Aminah yang pertama kali menari tarian tradisional di pentas berkenaan turut diiringi tiga puterinya serta kumpulan penarik cilik berpakaian tradisi suku kaum dusun.
Sebaik Tunku Azizah selesai menari, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama rakyat jelata memberi tepukan gemuruh hingga memecah suasana malam di Ranau.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong bersama Tunku Azizah serta rombongan tiba di Ranau kira-kira jam 8 malam bagi menghadiri Majlis Santapan Bersama Rakyat.
Yang di-Pertuan Agong dan Tunku Azizah disambut meriah oleh rakyat yang diketuai oleh Timbalan Ketua Menteri 2, Datuk Joachim Gunsalam, Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun dan Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Abidin Madingkir dengan diiringi muzik dan tarian tradisi masyarakat dusun Ranau.
Dalam majlis yang berlangsung selama dua jam itu, Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut dihiburkan dengan lagu dan tarian kebudayaan masyarakat dusun Ranau.
Bersempena dengan Majlis itu juga, Yang di-Pertuan Agong turut menyampaikan sumbangan kepada kira-kira 20 orang golongan memerlukan di sekitar Ranau.
Sebelum meninggalkan majlis, Baginda berdua turut sempat menyantuni rakyat jelata sebelum berangkat pulang ke penginapan.
Esok, Al-Sultan Abdullah dijadualkan akan merasmikan Kompleks Mahkamah Syariah Sabah 1 di Kota Kinabalu sebelum menghadiri Majlis Santapan Malam Kerajaan Negeri di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada sebelah malam. – Info X