Search

Cubaan seludup 6,000 tin minuman keras dari Labuan gagal

September 9, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cubaan sekumpulan individu menyeludup keluar 6,000 tin minuman keras tanpa cukai bernilai RM39,000 dari Labuan di Menumbok, gagal selepas kegiatan mereka dikesan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), awal pagi tadi.

Rampasan itu dijalankan oleh bot peronda APMM berdasarkan maklumat perisikan serta hasil daripada aduan awam, kira-kira jam 1.30 pagi.

Pengarah APMM Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Che Engku Suhaimi Che Engku Daik berkata, hasil pemeriksaan oleh bot peronda APMM yang sedang melaksana Operasi Sejahtera di perairan Menumbok, mengesan sebuah bot yang sedang memecut laju keluar dari sungai Klias, Menumbok.

Katanya, hasil pemerhatian lanjut, seterusnya berlaku aktiviti pemunggahan barangan ke dalam sebuah lori.

Anggota APMM memeriksa longgokan minum keras tanpa cukai yang ditinggalkan. – Foto/APMM

“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, semua suspek yang sedang memunggah barangan meloloskan diri dan memecut laju lori meninggalkan kawasan berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di tempat kejadian menemui longgokan minum keras tanpa cukai yang ditinggalkan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, minuman keras ini dipercayai diseludup keluar dari Labuan untuk pasaran tempatan dengan harga yang murah.

“Rampasan membabitkan 6,000 tin minuman keras tanpa cukai yang bernilai RM39,000.

“Semua barang rampasan dibawa ke Ibu Pejabat APMM Sabah dan Labuan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana melakukan aktiviti menyeludup. – Info X