TUARAN: Kehadiran seekor buaya besar di Sungai Tuaran, di sini, semalam menggemparkan penduduk di daerah ini.
Kejadian yang turut tular di media sosial itu menunjukkan buaya sepanjang lebih lima meter kelihatan sedang rehat di permukaan air sambil membuka mulut.
Kemunculan reptilia ganas itu menarik perhatian orang ramai sehingga memenuhi ruang bawah jambatan berkenaan kerana ingin menyaksikan kehadirannya hampir sejam, di situ.
Beberapa kaki pancing di daerah ini mendakwa kelibat budaya besar itu sering muncul pada permukaan sungai berkenaan ketika mereka memancing.
Bagaimanapun, reptilia itu tidak membahayakan selagi tidak diganggu, kerana kemunculannya hanya untuk rehat.
Difahamkan, buaya itu sering muncul di sungai itu terutama ketika paras sungai susut dan cuaca panas.
Penduduk, Frenkey Nyuk, yang memuat naik gambar dalam facebook miliknya mengingatkan pemancing di Tuaran berhati-hati ketika melakukan kegiatan itu di bawah jambatan berkenaan ekoran kemunculan reptilia itu.
“Hati-hati buat pemancing yang biasa memancing di bawah jambatan Tuaran. Nampaknya, ada sudah si ongkol (buaya) yang memunculkan diri, besar juga,” katanya dalam hantaran di facebook.
Nick Hirens pula berpendapat papan tanda amaran mengenai kewujudan reptilia ganas di sungai itu sudah di pasang di lokasi itu oleh pihak berkuasa sebagai peringatan kepada orang ramai. – Info X