Search

Bayi, kanak-kanak lelaki maut kemalangan di Semporna

September 11, 2023

Info X Reporters

SEMPORNA: Bayi dan kanak-kanak lelaki maut manakala tiga parah dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Kilometer 24 Jalan Semporna – Tawau, di sini, hari ini.

Dalam kejadian jam 1.50 tengah hari itu, bayi berusia tiga bulan dan kanak-kanak berusia tiga tahun adalah penumpang kereta Proton Saga manakala pemandu dan seorang lagi penumpang dewasa mengalami parah.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintenden Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, kemalangan membabitkan dua kenderaan iaitu Proton Saga dan Toyota Hilux.

Keadaan dua kenderaan terbabit kemalangan yang mengorbankan seorang bayi dan kanak-kanak lelaki di Kilometer 24 Jalan Semporna – Tawau, Semporna. – Foto/PDRM

Katanya, siasatan awal mendapati pelanggaran berlaku disebabkan oleh Toyota Hilux yang datang dari arah bertentangan telah masuk ke lorong jalan Proton Saga.

“Pemandu dan penumpang dewasa parah manakala dua penumpang iaitu bayi dan kanak-kanak lelaki meninggal dunia.

“Pemandu Toyota Hilux parah manakala penumpang perempuan dewasa dan empat kanak-kanak tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kepada sesiapa yang ada sebarang maklumat berkenaan kejadian itu, boleh menghubungi pegawai penyiasat trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna, Inspektor Hemkkumar A/L Ayathuray di talian 012-3650021 dan Balai Polis Semporna di talian 089-782020 atau mana-mana balai polis berhampiran.

“Pengguna jalan raya dinasihatkan supaya memandu dengan lebih cermat dan berhati-hati di kawasan kerap berlaku kemalangan,” katanya. – Info X