KOTA KINABALU: Seramai 10,597 individu ditahan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Sabah atas pelbagai kesalahan membabitkan dadah bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, ini menunjukkan peningkatan sebanyak 16.2 peratus berbanding tahun lalu.
“Daripada jumlah itu, seramai 152 tangkapan adalah mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
“Sepanjang tempoh yang sama juga, seramai 359 penagih dituduh mengikut Seksyen 39C ADB 1952 dan seramai 29 orang diambil tindakan mengikut ADB (Langkah-Langkah Pencegahan Khas – LLPK) 1985,” katanya sidang media, semalam.
Jauteh berkata, berbagai rampasan dadah dilakukan bernilai RM2.6 juta dan nilai rampasan harta penjenayah dadah mengikut undang-undang perlucuthakan harta adalah sebanyak RM6.1 juta.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya mengucapkan terima kasih kepada masyarakat umum yang selama ini banyak memberikan maklumat kepada pihak polis ke arah membanteras gejala penyalahgunaan dadah khususnya di negeri ini dalam usaha membebaskan Sabah daripada najis dadah.
“Saya juga menyeru masyarakat supaya bersama-sama dengan polis untuk membanteras gejala dadah dengan menyalurkan maklumat dari pihak polis akan mempastikan pemberi maklumat dilindungi identiti dan kerahsiaannya mengikut peruntukan undang-undang sedia ada.
“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada warga media dan masyarakat yang selama ini banyak memberi pelbagai maklumat kepada pihak polis,” katanya. – Info X