SEMPORNA: Cubaan 10 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyusup masuk ke negara ini melalui perairan Semporna, gagal apabila ditahan Pasukan Polis Marin (PPM), semalam.
Semua PATI warga Filipina berusia enam hingga 60 tahun ditahan di perairan laut Gelam-Gelam, di sini, menerusi Op Taring Gelora Khas pada 6.30 pagi.
Menurut sumber, sepasukan PPM Semporna yang menjalankan operasi mengesan dua bot laju dalam keadaan mencurigakan di perairan berkenaan.
“Pasukan operasi kemudian menahan kedua-dua bot itu dan hasil pemeriksaan mendapati 10 individu gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Semua mereka ditahan dan dua bot laju turut dirampas,” katanya.
Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Ahmad Ariffin ketika dihubungi mengesahkan tangkapan dan rampasan berkenaan.

“Tangkapan dan rampasan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/1963,” katanya. – Info X