Search

SPRM Sabah tahan penjawat awam kemuka tuntutan palsu

September 19, 2023

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Seorang penjawat awam ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah kerana disyaki membuat tuntutan palsu bagi pembekalan peralatan pertukangan bernilai RM17,200.

Suspek lelaki berusia lingkungan 50 tahun ditahan ketika diminta hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah, jam 10.40 pagi tadi.

Sumber berkata, suspek yang bertugas di sebuah jabatan kerajaan dipercayai membuat tuntutan palsu untuk membekalkan peralatan pertukangan kepada pelajar sebuah pusat latihan di negeri ini pada 2017.

“Sedangkan pembekalan berkenaan tidak dilaksanakan sepenuhnya,” katanya.

Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

“Suspek dilepaskan dengan jaminan seorang penjamin sebanyak RM5,000 tanpa deposit dan akan dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu, Sabah esok pagi,” katanya.

Sementara itu, beliau turut mengingatkan penjawat awam agar tidak membuat tuntutan palsu kerana ia adalah satu kesalahan dan boleh dituduh di mahkamah jika mempunyai bukti yang kukuh. – Info X