PENAMPANG: Setiap warga Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang perlu bersatu hati untuk mencapai misi memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Jauteh Dikun berkata, dalam usaha mencapai misi itu, sokongan padu perlu diberikan kepada kedua-dua pimpinan tertinggi IPD Penampang yang baharu.
Katanya, umum mengetahui, sokongan padu tanpa perbezaan amat diperlukan dalam merealisasikan visi dan misi kepolisan.
“Ketua Polis Daerah Penampang baharu, Superintendan Sammy Newton mempunyai pengalaman luas dalam bidang pentadbiran.
“Manakala timbalannya pula, Deputi Superintendan Erwansyah Abdul Basir mempunyai pengalaman dalam bidang siasatan jenayah berikutan penugasannya sebagai Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) di IPD Labuan sebelum ini,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa Majlis Serah Terima Tugas Timbalan Ketua Polis Polis Daerah Penampang di IPD Penampang, di sini, hari ini.
Jauteh berkata, beliau percaya dengan adanya dua kombinasi ini akan mampu mengendalikan IPD Penampang melalui perancangan bersama.

Katanya, kedua-dua mereka adalah peneraju baharu kepada kawasan pengoperasian yang besar membabitkan kawasan Penampang, Putatan dan Petagas.
“Dengan adanya kendalian dua peneraju berpengalaman luas ini, sudah pasti mereka boleh memahami keperluan dan inilah keistimewaan yang ada di Sabah,” katanya.
Sementara itu, Jauteh berkata, Ketua Polis Daerah di IPD Penampang yang sudah dinaikkan gred daripada Deputi Superintendan kepada Superintendan selepas diluluskan pucuk pimpinan tertinggi Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Katanya, kadar jenayah di daerah ini masih berada di tahap rendah dan beliau percaya kawasan pentadbiran IPD Penampang antara kawasan selamat.
“Bagaimanapun, penugasan kepolisan perlu diletakkan pada tahap tertinggi bagi mengekalkan keadaan positif ini.
“Ia mengelakkan berlakunya kekacauan berikutan kewujudan sesuatu isu akan menjejaskan reputasi sesebuah kawasan sekiranya tidak dibendung dari awal,” katanya.
Sehubungan itu, Jauteh menasihatkan pegawai serta anggotanya agar mengambil kira setiap perbuatan dan tidak membuat sebarang tohmahan atau kenyataan yang tidak betul dalam kalangan warga IPD sendiri.
“Teguran ini dibuat berikutan ada terkesan beberapa kejadian seumpamanya, namum ia tidak menjejaskan secara keseluruhan tetapi sedikit sebanyak mengaibkan warga PDRM.
“Jaga kesihatan mental diri sendiri bagi membolehkan kita sebagai kakitangan awam mampu mengendalikan organisasi serta orang awam.
“Ia bagi membolehkan kita memberikan perkhidmatan terbaik dalam mencapai visi ‘Polis dan Masyarakat Berpisah Tiada’,” katanya. – Info X