SIPITANG: Seorang lelaki berusia 33 tahun dikhuatiri hilang selepas tidak pulang ke rumah di Kampung Lubok Darat, di sini, sejak empat hari lalu.
Mangsa Lahanirsin Lahamino dikatakan keluar ke hutan untuk mencari buah tetapi tidak kembali ke rumah sehingga hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu kira-kira jam 1 tengah hari, semalam.
Katanya, sepasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sipitang bersama jentera dan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian.

“Pasukan bomba kemudian bertindak mendapatkan maklumat mangsa dan seterusnya memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR) sekitar kawasan kampung.
“Namun sehingga jam 5.30 petang semalam, mangsa belum ditemui. Operasi ditangguh dan disambungkan pagi ini,” katanya.
Menurutnya, operasi SAR turut disertai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan penduduk kampung.
“Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa,” katanya. – Info X